MM52
PERPADUAN MELAYU: IKUT SYARAT KITA
Laungan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu
bagaikan kokokan ayam di pagi hari. Kadang kala bingit telinga dibuatnya. Ada yang
marah lalu disembelih sahaja ayam itu, maka hilanglah kokokan itu bagi tempoh
sementara waktu. Itu gara-gara ayam jantan. Bagi
ayam betina pula bila bertelur walau sebiji maka 'ketak'kannya juga meraung-raung
ke seluruh desa dan perkampongan. Begitulah prinsip hidup ayam sehingga wujud
pepatah Melayu bertelur sebiji riuh sekampong.
Begitulah kini ibaratnya akan nasib parti UMNO.
Pemimpinnya laksana ayam jantan dan ayam betina berkokok ekor tahi berderai.
Berderma walau sekotak kueh raya mesti dicanang ke seluruh negara sehingga
peristiwa hampir di tembak tatkala di Ambon menjadi peristiwa pahit dalam usaha
menunjukkan sifat keprihatinan dan kebaikan mereka. Mereka lupa rakyat yang
berdemo di Kuala Lumpur sepanjang 2 tahun lalu juga mengalami insiden hampir
serupa.
Benarkah perpaduan orang Melayu ditahap genting
sehingga memaksa ketiga-tiga atau empat parti Melayu mesti duduk semeja. Maksudnya
berbincang tentang perpaduan orang-orang Melayu. Saya lihat sepanjang beberapa
hari Aidilfitri yang lalu, tak nampak macam adanya perpecahan di kalangan mereka.
Saya sendiri berkunjung ke rumah bekas pimpinan UMNO yang masih tahi karat
birunya. Cuma saya tidak buka bab politik untuk dibincangkan kerana saya tahu
usaha saya pasti sia-sia.
Dua hari menjelang hari raya saya ke rumah seorang
Ketua UMNO Cawangan. Orang yang sudah berumur kira-kira sekitar 60 tahun. Oleh
kerana berpuasa maka tiadalah perbincangan kami diserikan dengan teh 'o' atau
goreng pisang. Tujuan saya menemankan rakan yang mencari barang kerana Ketua UMNO
itu pandai berniaga.
Rumahnya tidaklah begitu hebat jika nak dibandingkan
dengan rumah teres. Namun suasana perkampongan itu sunyi dari jeritan anak-anak.
Hanya bunyi jentera dari sebuah kilang yang besar beberapa ratus meter dari
kediamannya.
Haji A (bukan nama sebenar) memulakan perbualan
petang itu dengan memuji pembangunan yang berlaku dalam negara. Beliau kata PM
sekarang hebat dan berani. Saya sudah kenyitkan mata kepada kawan saya apabila
beliau mula mengacah kaum Cina dan isu Suqiu. Katanya lagi, orang Cina sudah lupa
13 Mei 1969. Bila parang terbang sana sini nanti baru mereka tahu, katanya
marahkan tuntutan kaum peniaga Cina dalam isu politik terhangat sekarang.
Bagi meredakan ketegangan suasana, saya katakan
kepada Haji A bahawa saya sendiri turut kagum dengan pembangunan yang telah
dilakukan. Haji A mencelah, itulah sebabnya negara Islam lain mahu mencontohi
Malaysia dan datang ke sini belajar cara-cara nak membangunkan negara, katanya
lagi.
Saya anggukkan kepada, enggan menyanggahnya. Tapi
saya katakan kepada Haji A bahawa saya terkilan sedikit perkara. Saya tanya
tahukah Haji bahawa dari tingkat 40 ke atas sebanyak lebih 40 tingkat lagi itu
tidak dihuni oleh sesiapa? Mengapakah masih ramai rakyat yang hidup bersepah
menjadi setinggan itu dibiar berendam banjir dan berpanaskan mentari dengan rumah
sekangkang kera hidup merempat? Apakah tidak terfikir mereka diberikan kesempatan
untuk menetap di bahagian tertentu Menara Kembar Petronas itu supaya bangunan yang
ada dimanfaatkan untuk kebaikan bersama? Barulah rakyat akan menyanjung sikap
prihatin sebegini, saya tekankan.
Haji A mulai kendur. Beliau kerutkan dahinya. Beliau
berkata, ya tak ya juga.. kata-kata itu terpacul. Saya tekan lagi. Ini tidak, buat
highway kita disuruh bayar tol. Nak naik Menara KL pula dikenakan bayaran..
dan berbagai lagi pembangunan yang dibuat rakyat tak dapat nikmatnya! Saya
contohkan kepada Haji A, kalau beliau diberikan sebuah kereta 'Mercedes Benz' E280
dan diletakkan di garaj keretanya itu, sambil saya tudingkan jari ke arah
garajnya, tetapi kunci tidak diberi, bagaimana perasaan beliau. Haji A menggaru
kepala dan kemudian menggelengkannya.
"Hai mana boleh tengok saja, saya mesti nak
pandu", katanya lagi. Mana ada jalan boleh tengok saja hak kita, katanya
tegas. Saya kembalikan pandangan itu kepada hakikat sekarang. Demikianlah
pembangunan yang ada di negara kita sekarang, saya tekankan. Hakikatnya kita tidak
dapat nikmati melainkan orang yang tertentu dan mereka yang melaksanakan projek
itu. Itu belum dikira lagi dari sumber mana pembangunan itu dibuat saya kata.
Bagaimana jika saya katakan wang itu dipinjamkan dari luar negara.
Saya memberitahu Haji A bahawa hutang luar negara
kini mencecah RM160 bilion. Ternganga mulut Haji A seketika. Sehingga ke cicit
beliau sekali pun tak akan habis hutang itu, saya kata kepada Haji A yang sudah
ada beberapa orang cucu yang masih di sekolah rendah.
Demikian satu perbincangan dengan seorang tokoh UMNO
yang masih menerajui kepimpinan di peringkat kecil/cawangan. Dari perbincangan ini
saya hendak menyorot bahawa walaupun Haji A dan saya dari bendera yang berlainan
corak dan perjuangan, tetapi kami masih boleh berbincang dengan baik. Saya
berpendapat Haji A telah ditipu oleh pemimpin partinya. Sebaliknya pemimpin parti
yang saya sokong tidak berbuat demikian. Malahan kita seringkali disedarkan supaya
tidak terus lena dalam agenda pembangunan yang menutup pandangan dan minda kita
dari menerima hak dan kebenaran.
Laungan perpaduan ialah bagi satu perpecahan yang
melanda. Saya berpendapat tidak wujud perpecahan dan suasana hari raya sudah
membuktikannya. Saya lihat ramai orang PAS datang ke rumah orang UMNO dan
sebaliknya. Keluarga bapa saudara isteri saya masih kuat berpegang kepada UMNO
tetapi tetap datang berkunjung ke rumah kami dan rumah mertua saya yang kini
bendera hijau. Usahkan orang UMNO, DAP dan kaum India MIC juga datang ke rumah
kami di hari raya lalu.
Pendek kata orang Melayu tidak berpecah pun.
Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum masih hidup dalam aman dan damai. Tapi
mengapa masih ada yang melaungkan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu. Ini
yang saya tidak berapa faham. Beberapa hari menjelang hari raya saya sendiri lihat
Presiden PAS duduk semeja dengan Presiden UMNO berbuka puasa bersama-sama. Mereka
ketawa bersama dan saya lihat semacam ada cerita yang lucu antara mereka.
Begitulah suasana keharmonian yang wujud di persekitaran kita sekarang.
Saya kira perpaduan Melayu ketika ini tetap utuh.
Mungkin yang tidak utuh ialah keahlian UMNO yang kian merosot. Saya percaya Haji A
juga akan bersifat tawar hati terhadap UMNO jika beliau percaya kata-kata saya dan
pandangan simbolik yang saya sampaikan kepadanya. Jika Haji A meletakkan
jawatannya dan meninggalkan parti UMNO, apakah ini dikaitkan sebagai perpecahan
Melayu? Jika inilah yang dimaksudkan oleh pimpinan UMNO, maka syarat 'penyatuan'
yang mesti ada bagi mengeratkan perpaduan itu mestilah di tangan kita. Tegasnya
berikrar untuk berpadu dengan syarat yang mesti mereka patuhi.
Saya berpendapat syarat itu tak lain dan tak bukan
ialah UMNO mestilah antaranya:
- Menerangkan kedudukan sebenar pembangunan dan
wang yang sudah disonglap dalam setiap pembangunan mega negara,
- Menjelaskan dengan terbuka kepada rakyat
bahawa nikmat pembangunan ini boleh dinikmati secara adil dan bersama,
- Menerima Islam sebagai cara hidup, bukan
sekadar solat, puasa, berzakat dan naik haji, tetapi mencakupi pentadbiran
politik, sosio-ekonomi,
- Menerima Al-Quran dan As-Sunnah sebagai
perlembagaan dan dasar pentadbiran negara,
- Menjadikan jawatan PM itu hanya seorang
pegawai pelaksana sedangkan pentadbiran di Parlimen berkuasa penuh, termasuk
berkuasa menyingkirkan PM tanpa menunggu undi majoriti,
- Menerima hukum hudud dan sedia melaksanakan
secara spontan,
- Meletakkan martabat Islam kembali ke ganggangnya,
- Membaik pulih imej Baitul Mal dan membenarkan
akaun zakat yang diterima untuk dilihat dan dipantau oleh rakyat sendiri,
- Tidak ada wujudnya masjid UMNO kerana setiap
wang negara bagi membina masjid menjadikan masjid adalah milik Allah
sepenuhnya
Ada banyak syarat yang mesti kita kenakan untuk
perpaduan ini. Bagaimana banyaknya syarat itu ianya dapat diringkaskan sebagai 'menerima
Islam dan melaksanakannya' sebagai rukun utama perpaduan di kalangan
orang-orang Melayu. Jika UMNO sedia menerima dan melaksanakan Islam secara jujur
dan spontan, kita rakyat sekelian akan mendesak kepimpinan Parti KeADILan
Nasional, PRM serta PAS bubarkan sahaja parti mereka dan kita bersatulah di dalam
satu wadah sahaja. Jika mereka (UMNO) enggan atau memberikan sebarang dalih,
ucapkan saja selamat tinggal kepada UMNO dan para pemimpinnya. Semoga kesombongan
dan keangkuhan itu akan segera menghancurkan UMNO, dulu, kini dan selamanya!!
 |